KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan beberapa pihak mengenai Projek Perkhidmatan 1BestariNet yang dikatakan gagal.
Sebaliknya, menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pemasangan peralatan bagi projek itu di kebanyakan sekolah menghadapi kelewatan berdasarkan jadual dalam kontrak kerana isu kelulusan pembinaan yang membabitkan pihak berkuasa tempatan.
"Sebanyak 8,924 dari 8,938 sekolah menghadapi kelewatan pemasangan 1BestariNet," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Katanya, kementerian turut berusaha menaik taraf kelajuan internet 1BestariNet supaya sekolah terbabit memperoleh capaian internet yang lebih stabil dengan kelajuan optimum.
Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata pihaknya akan menjalankan audit susulan terhadap 1BestariNet dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek itu kepada sekolah terbabit.
Keputusan itu dibuat atas permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berikutan banyak rungutan diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa termasuk berhubung kadar kelajuan internet yang rendah.
1BestariNet adalah inisiatif Kementerian Pendidikan bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.
Projek 15 tahun itu, yang mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini memasuki fasa kedua sejak Julai 2016.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/216139
No comments:
Post a Comment