2.Sejauhmanakah guru mengaplikasikan pengajaran abad ke 21
1. Laporan Keratan Akhbar Utusan
PUTRAJAYA 14 Mei - profesion keguruan pada abad ke-21 terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk kebendaan, intelektual, pemikiran, kerohanian, kebudayaan, ideologi baharu dan isu-isu yang berkaitan dengan masalah etika.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, bagi mendepani cabaran tersebut para guru perlu membina dan membentuk pelajar agar mampu bangkit dan membina kekuatan untuk menentukan masa depan yang lebih cerah.
Beliau berkata, guru juga perlu memahami bahawa penghayatan moral, nilai dan akhlak merupakan asas kepada kehidupan manusia dan asas martabat sesuatu profesion khususnya profesion keguruan yang bertanggungjawab memelihara tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.
“Para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh persaingan, pendidikan adalah bersifat futuristik, maka kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita juga perlu melahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi terkini serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Khair, pemilihan tema sambutan hari guru tahun ini, Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak adalah selaras dengan hasrat kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu mengenai enam aspirasi murid.
“Kementerian mahu lahirkan murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional, sehubungan itu guru perlu memainkan penting dalam menjayakannya.
“Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara, ilmu juga membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi dan daya kreatif dalam kalangan individu dan bangsa, saya percaya semua agama dan sistem sosial manusia mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, para pendidik seharusnya mengorak langkah untuk melengkapkan diri sebagai pembina dan pemimpin ilmu khususnya berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang.
“Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan bersedia dengan minda untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi ketika ini. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif juga perlu terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa,” katanya.
Sejajar dengan tema itu, beliau berkata, kementerian berhasrat untuk melahirkan murid yang boleh bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat global, namun dalam masa yang sama menjadi warganegara yang masih berakar umbi kukuh sebagai rakyat Malaysia bertunjangkan nilai etika dan kerohanian tinggi.
“Pendidik yang profesional dapat menangani pengajaran dan pembelajaran bagi membudayakan anak didik dengan amalan akhlak dan nilai-nilai murni, mereka perlu faham bahawa perkembangan dan kemajuan dunia boleh mempengaruhi gaya hidup dan akhlak masyarakat.
“Perkembangan dunia dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan berkualiti. Oleh itu para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baharu di abad ke-21,” katanya.
Sementara itu katanya, tugas dan tanggungjawab guru dalam menyempurnakan akhlak adalah selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang menyatakan pendidikan Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.
“Etika dan kerohanian masih diberikan penekanan dalam PPPM 2013-2025 sebagai salah satu daripada enam aspirasi murid, tanpa memasukkan elemen pendidikan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran, cita-cita untuk melahirkan generasi cemerlang dari semua aspek tidak akan berhasil,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihan tarikh 16 Mei untuk menyambut hari guru, Khir berkata, tarikh tersebut dipilih bertepatan dengan 16 Mei 1956 iaitu tarikh yang sama ketika Laporan Razak diiktiraf dan dijadikan sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan.
“Objektif utama sambutan hari guru ialah untuk menghargai jasa dan peranan guru dalam pembangunan negara, modal insan serta perkhidmatan mereka kepada masyarakat selain memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah dalam kalangan guru.
“Tahun ini merupakan tahun terakhir untuk melihat keberhasilan gelombang kedua PPPM 2013-2025, oleh itu sambutan hari guru 2015 akan memfokuskan kepada elemen keberhasilan gelombang pertama PPPM khususnya inisiatif-inisiatif yang berkaitan keberhasilan murid, kualiti guru dan kepimpinan sekolah,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
2. Matlamat Pendidikan Negara Ke Arah Bertaraf Dunia
Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".
Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :
- Pembangunan tenaga manusia
- Kepesatan pertumbuhan ekonomi
- Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
- Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
- Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
- Pembangunan teknologi dan sains
- Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.
‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
3. Peranan Guru Mencapai Pendidikan Alaf Baru
1. Menguasai Subjek
Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang diajar. Tentu agak canggung jadinya jika guru sendiri masih terkial-kial untuk menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek yang diajarnya.
2. Mahir dan Berketrampilan dalam Pedagogi
Guru haruslah mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan p&p di dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.
3. Memahami Perkembangan dan Menyayangi Murid
Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi mereka seadanya. Guru abad 21 seharusnya mampu untuk menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka.
4. Memahami Psikologi Pembelajaran
Guru abad 21 juga berupaya untuk memahami psikologi pembelajaran bagi para pelajarnya. Hanya dengan memahami bagaimana minat dan respon pelajar ketika belajar, maka akan membantu seseorang guru itu berfungsi dengan lebih baik sebagai seorang pendidik.
5. Kemahiran Kaunseling
Guru juga perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika berurusan dengan pelajar. Kemahiran untuk membantu pelajar menangani emosi, sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan remaja. Adalah satu kelebihan untuk guru-guru yang memiliki kemahiran kaunseling dalam menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah.
6. Penggunaan Teknologi Terkini
Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21. Selain daripada murid yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain, maka guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Pembelajaran yang menggunakan lcd, game, aplikasi mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.
4. Kurangkan Pengajaran Tradiosional
Pengajaran guru secara chalk and talk perlu dikurangkan bagi meningkatkan profesional pengajaran guru. Zaman telah berubah dan sistem pengajaran juga perlu berubah. PdPc secara tradisional tidak seharusnya dihapuskan 100%. Akan tetapi, guru perlu menyesuaikan proses pengjaran mengikut keperluan semasa murid.

No comments:
Post a Comment